7 Penawar Dompet Nipis Yang Mudah

7 penawar dompet  nipis atau Seven Cures to A Lean Purse.

Itu antara konsep mudah yang ada dalam buku The Richest Man in Babylon. Dan ilmu ini sebenarnya dah diajar oleh ramai orang sejak dulu lagi.

Cuma tak ramai nak ambil perhatian atau amalkan.

Sebab tu, tak mengejutkan bila kajian BNM pada tahun 2015 kata, 3 daripada 4 orang rakyat Malaysia, tak mampu pun simpan RM1,000 untuk tujuan kecemasan.

7 penawar dompet nipis

Dalam buku The Richest Man in Babylon tulisan George S Classon, ini antara tujuh penawar yang semua orang boleh cuma amalkan dalam hidup.

Sama ada belum dapat kerja, sudah bekerja atau hampir nak bersara, ilmu ini sepatutnya dipelajari dan diamalkan.

Ini dalam tulisan asal:

  1. Start thy purse to fattening
  2. Control thy expenditures
  3. Make thy  gold multiply.
  4. Guard thy treasures from loss.
  5. Make of thy your dwelling a profitable investment.
  6. Insure thy future income.
  7. Increase thy ability to earn.

7 penawar dompet nipis

Start thy purse to fattening

Ini ilmu pertama dalam usaha untuk jadi kaya. Sebenarnya tak susah pun nak cipta kekayaan kalau ada ilmu yang betul. Dan sanggup cari ilmu yang ada.

Ilmu pertama adalah- simpan 10% daripada pendapatan kasar yang kita dapat setiap bulan. Tak kisah berapa pun pendapatan kita, kita kena cuba untuk simpan tak kurang daripada 10%.

Kenapa perlu simpan?

Inilah modal untuk kita mulakan pelaburan. Walaupun kita sekarang ada banyak hutang, cuba untuk simpan 10% ini.

Kita kerja siang dan malam. Keluar rumah dari subuh. Balik rumah pun dah gelap. Sepatutnya, orang pertama yang kita bayar dengan gaji kita adalah diri sendiri.

Bukan orang lain. Bukan bank.

Jadi, tak timbul soal kita tak boleh kaya. Apa yang kita perlu buat adalah untuk mula menyimpan pendapatan kita setiap bulan. Barulah dompet boleh jadi gemuk(fattening).

Control thy expenditures

Selepas berjaya menyimpan 10% atau 1 per sepuluh pendapatan kita setiap bulan, kenalah belajar kawal perbelanjaan.

Perbelanjaan kena kawal supaya kita tak perlu guna duit yang kita simpan tadi. Kalau tak, kita akan kekal pada tahap yang sama. Orang yang amalkan pasti akan lebih berjaya.

Kena mula lihat semua perbelanjaan.  Kenal pasti yang mana keperluan dan kemahuan. Orang kaya, dia jadi semakin kaya sebab dia hanya berbelanja apabila perlu.

Ada petua daripada seorang yang berjaya, Tuan Norizan bin Shariff. Atau dekat Twitter, orang kenal beliau sebagai Nobisha.

Beliau kawal belanja sampai mampu bersara awal. Prinsip beliau, belanja bawah kemampuan. Bukan dalam kemampuan. Kalau mampu belanja RM10, beliau hanya belanja RM2. Selebihnya disimpan.

Ambil kertas dan pen. Rekod belanja setiap hari selama 3 bulan. Setiap sen perlu direkod. Dan lihat balik. Pasti ada ruang untuk kawal perbelanjaan.

Make thy gold multiply

Orang kaya menjadi semakin kaya sebab dia laburkan duit yang dia ada. Dan dia laburkan semua hasil yang diperolehi.

Gold ini adalah duit yang kita simpan. Untuk jadi kaya, atau paling tidak, hidup selesa sewaktu bersara nanti, kita kena belajar gandakan duit simpanan.

Contohnya, anda bergaj RM2,000 setiap bulan. Anda simpan RM200 iaitu 10% daripada pendapatan. Dalam setahun anda berjaya kumpul RM2,4000.

Katakan anda letak dalam Tabung Haji dan dapat dividen 5%.

Simpanan anda dalam TH dah berjumlah RM2,520.

Jika anda konsisten menyimpan jumlah sama setiap bulan dan tak sentuh langsung dividen yang dapat, pasti jumlah dia akan bertambah selepas 10 tahun.

Sebab, anda gunakan duit simpanan dan dividen yang ada untuk jana lagi banyak wang. Inilah cara yang orang kaya amalkan. Selalu gandakan wang yang ada.

Bukan habiskan semua wang yang ada.

Guard thy treasures from loss

Saya tahu, ramai orang nak kaya. Dia simpan duit. Bila cukup tempoh, simpanan dia cukup untuk melabur dan gandakan lagi harta yang ada.

Masalah timbul bila dia melabur dalam skim cepat kaya. Atau skim cepat miskin sebenarnya. Habis semua simpanan dia selama ini hangus. Hilang sekelip mata. Nak simpan, makan tahun lamanya.

Bukan dalam skim yang dikawal selia kerajaan.

Selain itu, dia dapatkan nasihat pelaburan daripada orang yang tak mahir.

Anda nak belajar jadi tukang gunting rambut, anda mestilah cari seorang tukang gunting rambut untuk ajar anda ilmunya. Bukan pergi menuntut dengan tukang kasut.

Itulah analoginya.

Cari orang yang mahir atau memang biasa melabur dalam satu-satu skim. Bukan cari yang langsung tak pernah melabur atau yang merapu macam ejen skim cepat kaya.

Make of thy dwelling a profitable investment

Dwelling adalah rumah.

Setiap orang mahu ada rumah sendiri. Dan memang miliki rumah sendiri adalah satu benda penting. Semua orang kena belajar cara dapatkan rumah sendiri.

Rumah sendiri lebih menguntungkan dalam jangka masa panjang.

Cuma, dengan harga rumah semakin tinggi, kita kena cari ilmu macam mana nak beli rumah yang kena dengan pendapatan sendiri.

Ukur baju di badan sendiri, orang kata.

Ramai orang yang sudah buat seminar, tulis buku tentang cara beli rumah lelong, subsale dan sebagainya. Ilmu ini penting supaya semua orang tahu macam mana nak beli rumah.

Dan lagi penting, rumah apa yang sesuai dengan gajinya dan macam mana cara untuk dapatkan rumah idaman.

Insure thy future income

Bukan semua orang pandai berniaga. Ramai yang lebih sesuai kerja makan gaji. Kebanyakan orang Malaysia adalah pekerja swasta dan hanya ada KWSP sebagai tabungan persaraan.

Saya dah lihat sendiri bagaimana pesara yang ada simpanan RM100,000 selepas bersara, habis dalam masa kurang 2 tahun.

Sedangkan Jabatan Statistik Malaysia kata, purata umur lelaki dan perempuan adalah 72 tahun dan 77 tahun.

Kalau semua orang bersara pada usia 60 tahun, ada lebih kurang 12 tahun atau 17 tahun untuk hidup.

Waktu ini, belanja harian tetap kena ada. Tak semua orang ada anak-anak yang bergaji besar. Kalau dia bergaji besar pun, dia sendiri ada komitmen kewangan. Mesti payah dia nak beri wang belanja yang banyak.

Sebab tu, semua orang kena melabur untuk persaraan.

Tak semua orang cukup sihat untuk bekerja selepas bersara. Kalaupun sihat, dah sampai masa untuk berehat.

Increase thy ability to earn

Secara teori, semuanya mudah. Tapi, nak cari duit ini perlukan kemahiran.

Kemahiran pun kena sentiasa ditingkatkan. Barulah mudah untuk dapat lagi banyak duit.

Kalau anda kerja makan gaji, kena sentiasa belajar untuk jadi lebih baik. Kena rajin pergi kursus atau sambung belajar. Bila kelayakan atau skil meningkat, barulah mudah untuk minta naik gaji.

Kenaikan gaji itu boleh jadi modal untuk beli rumah-rumah pelaburan.

Atau, mungkin belajar kursus buat kek, kursus menjahit dan sebagainya.

Skil ini boleh jana pendapatan tambahan. Dan inilah modal untuk gandakan lagi pelaburan supaya anda boleh beli apa saja yang anda nak.

Atau, untuk bersara dengan selesa apabila tiba masanya.

Kunci dia adalah ilmu. Kena cari ilmu, kemahiran baru supaya boleh dapat pendapatan lagi banyak.

Itulah kemahuan semua orang.